Friday 17 August 2012

RETORIK

Retorik-keterampilan berbahasa atau teknik memanipulasi minda pendengar/pembaca?

Perkataan "retorik" menjadi popular dan mula diguna pakai secara meluas semasa berlakunya polemik antara Munsyi dengan seorang tokoh bicara suatu ketika dahulu. Kecelaruan dan salah faham mentafsir makna kata ini telah mendorong Munsyi untuk menulis tentang kata ini dengan harapan semua pihak jelas dan benar-benar faham maksudnya. Dalam hal ini, bagi sesetengah pihak "retorik" seolah-olah membawa konotasi negatif negatif. Ada pendapat yang menyatakan individu yang beretorik ketika berkomunikasi turut dianggap berwibawa serta pandai memanipulasi minda orang lain dengan menggunakan bahasa retorik. Tanggapan salah tentang fungsi retorik dalam kalangan pengguna bahasa seharusnya diperbetulkan. Hal ini demikian kerana retorik mempunyai fungsi yang penting sebagai salah satu bentuk strategi komunikasi berbahasa.

Menurut Kamus Dewan (2005:1326), retorik ialah kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Retorik juga ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Awang Sariyan (2006:8) menyatakan retorik sebagai satu bentuk strategi komunikasi berbahasa yang menekankan aspek keberkesanan dalam perhubungan. Retorik juga melibatkan soal keterampilan atau kemahiran seseorang mengajukan buah fikiran, idea, atau gagasan. Menurut beliau lagi, dari segi sejarah awal wujudnya, retorik memang dikaitkan dengan kemampuan atau keterampilan seseorang itu menyampaikan pemikiran dalam bentuk hujah atau pidato. Hudson seorang ahli retorik pernah menimbulkan isu ini apabila beliau menyatakan bahawa retorik pada waktu tertentu telah kehilangan konotasi positif kerana salah faham sesetengah orang. Menurut beliau lagi, salah faham ini disebabkan orang tidak faham akan asal usul timbulnya retorik dan fungsi retorik dalam komunikasi.

Terdapat beberapa pemimpin dunia seperti Adolf Hitler, Benitto Musolini, J.F Kennedy, Abraham Lincorn, Sukarno, dan beberapa orang pemimpin Islam yang dikategorikan sebagai pemidato yang dapat menyampaikan idea, visi atau transformasi kepada rakyat dengan berkesan. Misalnya, Abraham Lincorn dengan kata-katanya "Of the people, by the people, and by the people" sudah sebati dengan kita. Atau kata-kata hikmat Saidina Abu Bakar ketika lantik menjadi pemimpin umat Islam selepas kemangkatan Nabi Muhammad SAW seperti yang berikut : "Saudara-saudara, aku diangkat menjadi pemimpin bukanlah kerana aku yang terbaik antara kamu semua. Untukl itu jika aku berbuat salah, luruskan aku. Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan penipuan itu adalah pengkhiatan." Perdana Menteri kita juga semasa mula- mula dilantik menjadi kita ada juga menyuarakan kata-kata hikmatnya, iaitu "Bekerja bukan untuk saya tetapi bekerjalah bersama-sama saya.: Ungkapan-ungkapan tersebut mudah sahaja tetapi dianggap keramat kerana setiap kali diperdengarkan orang akan terpesona dengannya. Apakah keistimewaannya?

Jeniri Amir (2006:15) menyatakan ungkapan tersebut menjadi ikutan umum kerana mudah diingat dan menyerap ke dalam minda pendengar. Hal ini demikian kerana ungkapan tersebut berpaksi kepada tiga prinsip seperti yang menjadi pegangan pemimpin-pemimpin terdahulu semasa menyampaikan pidato. Prinsip "tiga" atau "tricolon" dapat sahaja dimanfaatkan dalam bentuk perulangan kosa kata, ungkapan, frasa atau ayat. Prinsip ini jika digunakan dengan tepat akan memberikan kesan dramatik dan mampu mengikat perenggan dengan berkesan. Rangkaian bertiga mampu menghasilkan rentak dan ritma. Alat tersebut dapat dikatakan sebagai alat pengucapan dan teks ucapan yang berkesan. Pengucap, pemidato, dan pemimpin terkemuka sering menggunakan prinsip kupulan bertiga kerana mereka sedar akan kesan penggunaannya.

Penulis teks atau pengucap yang baik selalunya bijak memilih diksi atau kata-kata. Hal ini  bermaksud kata-kata yang dapat mengungkap kenyataan, memperhalus, memperbesar, bahkan menyembunyikan realiti. Dalam retorik, bahasa yang digunakan hendaklah jelas, tepat, mudah, indah, dan menarik. Pemidato perlu sentiasa berusaha untuk menggunakan kata-kata yang khusus supaya dapat mendukung maksud sebenarnya.Pemidato sering dinasihati agar menggunakan kata-kata yang sederhana dan mengelakkan penggunaan kata-kata yang bombastik. Kata-kata tersebut dimaksudkan sebagai kata yang berdegar-degar dan lebih besar daripada idea yang cuba disampaikan. Dalam hal yang perlu difahami oleh pemidato adalah lebih baik menggunakan fakta dan hujah yang mudah ditafsir dan difahami daripada menggunakan kata-kata yang bombastik ini. Lantas, penggunaan kata-kata yang tepat, jelas, dan menarik lebih menimbulkan kesan yang mendalam dan kuat terhadap pendengar. Perkataan tersebut dapat menggambarkan sikap, perasaan atau keadaan yang dilukiskan oleh pemidato.

Oleh itu, Munsyi berpendapat sesuatu ucapan atau pidato yang berkesan dan dapat mencapai tujuannya perlulah disampaikan dengan pelbagai teknik dan digabungkan dengan unsur retorik. Hal ini demikian kerana ucapan atau pidato yang dapat memanipulasikan segala unsur retorik yang sesuai tentu kedengaran lebih hebat dan dapat melonjakkan citra penyampainya, selain mampu meninggalkan kesan yang dapat diibaratkan sebagai "halwa telinga dan santapan rohani" para pendengar. Selain itu, kehebatan menyampaikan ucapann atau pidato memperlihatkan kewibawaan dan keterampilan seseorang perucap atau pemidato itu. Jelaslah di sini, retorik perlu dilihat dari perspektif positif kerana tanpanya sesuatu ucapan atau pidato itu boleh diibaratkan sebagai lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan seperti yang dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Wednesday 15 August 2012

PENGGUNAAN "YANG" DALAM PEMBINAAN SOALAN PEPERIKSAAN

Kata "yang" dalam soalan peperiksaan

Analisis yang Munsyi jalankan terhadap penggunaan "yang" dalam soalan peperiksaan membuktikan bahawa penggunaan kata ini tidak konsisten. Hal ini berlaku kerana kalangan penggubal kurang pasti dan keliru tentang jumlah "yang" yang harus digunakan dalam soalan. Ada kalangan mereka berpendapat bahawa "yang" tidak boleh digunakan lebih daripada sekali dalam sesuatu ayat. Alasan yang diberikan ialah soalan tersebut akan kelihatan janggal dan tidak gramatis. Selain itu, ada juga yang secara sinis menyatakan pandangan seperti yang berikut "Bolehkah kita menggunakan kata ini banyak kali dalam ayat?", "Tak sedaplah gunakan kata ini banyak kali", "Macam tak kena aje", "Tak gramatislah ayat ini", dan seumpamanya.

Dengan berdasarkan petikan contoh soalan yang berikut, marilah sama-sama kita meneliti dan menganalisis penggunaan "yang" dan menentukan ketepatan penggunaannya mengikut rumus tatabahasa bahasa Melayu.

Contoh soalan objektif
 1a. Yang berikut ialah kata tunggal tiga suku kata kecuali     (betul)
       Soalan di atas sering ditulis seperti yang berikut :

 1b.  Berikut ialah kata tunggal tiga suku kata kecuali             (salah) 

Deskripsi :

Dalam soalan 1a. di atas, Munsyi mendapati perkataan "yang" digunakan sekali sahaja dan ditulis pada permulaan ayat. Fungsi "yang" dalam ayat di atas ialah sebagai subjek, iaitu penanda Frasa Nama (FN).
Ayat di atas sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut :
 1c. Kata tunggal yang berikut/ialah kata tunggal tiga suku kata kecuali
      (subjek)                               (predikat)

Dalam contoh ayat 1c di atas, perkataan kata tunggal yang berfungsi sebagai subjek telah mengalami pengguguran kerana perkataan tersebut merujuk kepada perkara yang sama, iaitu kata tunggal pada bahagian predikat. Oleh sebab itu, perkataan "yang" digunakan sebagai pengganti nama kepada tunggal yang telah digugurkan. Malangnya, rumus ini tidak dipatuhi oleh pengguna kerana sesetengahnya menganggap penggunaan "yang" pada permulaan ayat sebagai janggal atau tidak gramatis. Akibatnya, pengguna akan cenderung membina soalan seperti yang berikut :

 1d.  Berikut / ialah kata tunggal tiga suku kata kecuali
         (subjek)               (predikat)

Deskripsi

Ayat di atas salah kerana tidak mempunyai subjek selain tidak menepati rumus tatabahasa bahasa Melayu, iaitu binaan subjek mesti terdiri daripada Frasa Nama. Dalam ayat di atas, Munsyi mendapati penggubal soalan telah menggunakan frasa yang salah, iaitu Frasa Kerja "Berikut" untuk mengisi binaan subjek.

Contoh lain :

 1e.  Berikut merupakan maklumat yang perlu diaplikasi dalam penulisan rencana kecuali
 1f.   Berikut ialah perkataan-perkataan yang mengandungi morfem terikat kecuali
 1g.  Berikut ialah proses yang berlaku apabila seseorang itu membaca kecuali
 1h.  Berikut ialah beberapa pengertian bacaan ekstensif kecuali
 1i.   Berikut ialah aspek-aspek yang diliputi dalam ujian kesediaan membaca kecuali

Kesimpulan

Perkataan "yang" mempunyai pelbagai fungsi. Oleh hal yang demikian, pengguna perlu membiasakan diri dengan mematuhi rumus yang telah ditetapkan. Munsyi berharap agar penggubal mesti memberi penekanan kepada kualiti kandungan kertas peperiksaan dan aspek bahasa. Menerusi cara ini, sesuatu kertas peperiksaan terjamin dari segi kualiti kandungannya. Pesanan Munsyi "Biasakanlah yang betul dan betulkanlah yang biasa".

Monday 6 August 2012

Tentang ATAU Mengenai?

Tentang ATAU Mengenai : penggunaan yang sering mengelirukan?

Semasa mengedit soalan-soalan peperiksaan semester 2 yang disediakan oleh pensyarah Jabatan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Munsyi mendapati kesalahan penggunaan kata sendi "tentang" dan kata kerja "mengenai". Hal ini demikian kerana kata "mengenai" telah digunakan secara meluas dalam kalangan pengguna bahasa yang menganggap kata ini membawa maksud "tentang".
Mengikut buku Tatabahasa Dewan (2005) kata sendi nama "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Misalnya :

(a) Mereka sedang berbincang tentang tugasan yang diberikan oleh pensyarah.
(b) Kami berbual tentang kemalangan yang berlaku tadi.
(c) Ceritanya tentang ketaatan kepada kedua-dua ibu bapa.

Kata sendi nama "tentang" juga sering digantikan penggunaannya dengan bentuk "mengenai". Mengikut buku Tatabahasa Dewan (2005), perkataan "mengenai" tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud "kena pada". Misalnya :
(a) Panahan pemuda itu mengenai kera di atas pokok itu.
(b) Bola yang ditendangnya mengenai tiang gol.
(c) Penyakit ini mudah mengenai kanak-kanak.

Semoga pembaca dapat memahami perbezaan penggunaan kata "tentang" dan "mengenai" dalam lisan dan penulisan.

Thursday 2 August 2012

Bahasa Rojak. Tanggungjawab Siapa?

Isu bahasa rojak yang menjadi polemik di dada akhbar tempatan sejak kebelakangan ini menarik perhatian Munsyi untuk memberi pandangan peribadi sebagai pengajar dan pencinta bahasa Melayu yang sentiasa berusaha mengangkat martabatnya ke tahap yang tinggi. Hal ini bukanlah bermakna Munsyi seorang yang begitu fanatik terhadap bahasa ini. Cuma sudah menjadi tanggungjawab penulis untuk memastikan tidak berlaku pencabulan bahasa secara sewenang-wenang oleh pengguna yang majoritinya terdiri daripada bangsa Melayu sendiri. Munsyi amat menyetujui pandangan Datuk Dr. Hassan Ahmad (Allahyarham) yang dengan berani menyatakan bangsa Melayu bertanggungjawab memusnahkan bahasa ibunda sendiri (Utusan Malaysia, 7 Mei 2004). Beliau melahirkan kebimbangannya dengan menyatakan bahawa masalah yang lebih besar dan nampak semakin gawat ialah masalah penggunaan bahasa rojak dan bahasa tidak baku di media elektronik yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak berwajib. Jika tidak, beliau yakin suatu hari nanti bangsa Melayu tidak dapat menggunakan bahasa Melayu dengan cekap sebagai alat pemikiran dan tamadun bangsa.

Ternyata kebimbangan Datuk Dr. Hassan menjadi kenyataaan yang menakutkan. Ketiadaan jalan penyelesaian yang benar-benar berkesan menjadikan isu penggunaan istilah asing dan bahasa rojak kembali diperkatakan. Seorang lagi pejuang bahasa, Datuk Dr. Rais Yatim dengan tegas menyatakan penggunaan bahasa Melayu kini semakin luntur disebabkan sikap tidak prihatin masyarakat yang merosakkannya dengan menggunakan bahasa rojak (Utusan Malaysia, 27 April : 2004).

Seterusnya, beliau dengan nada sinis menegaskan golongan ini tidak sedar tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Negara. Beliau juga melahirkan kebimbangan apabila melihat semakin ramai rakyat negara ini yang tidak tahu menuturkan bahasa Melayu dengan betul> hal seperti ini katanya, disebabkan mereka tidak diwariskan menggunakan lunas yang betul dan menggunakan campuran bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris.

Beliau juga menyatakan penggunaan istilah asing dan bahasa rojak kini umpama penyakit berjangkit yang menular ke pelbagai sektor termasuk kakitangan kerajaan yang enggan mendaulatkan bahasa rasmi negara sendiri. Oleh itu, beliau mengharapkan bahasa Melayu harus dijamin agar tidak tercabul dan keadaan serta keutuhannya dihormati oleh semua generasi. Atas kesedaran ini, katanya, kementerian yang beliau terajui kini akan mengadakan pelbagai program bimbingan budaya bahasa untuk mengembalikan dan melindungi bahasa Melayu sebagai warisan negara.

Lebih memburukkan keadaan apabila isu penggunaan bahasa rojak dalam lirik lagu Melayu yang mendapat perhatian umum ekoran pengharaman beberapa buah lagu. Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dengan menjadi DBP sebagai panduan telah bertindak tegas dengan mengharamkan penyiaran lagu-lagu tersebut dengan alasan tahap bahasa Melayu yang diguna RTM sering menjadi panduan oleh pelbagai pihak. Datuk A. Aziz Deraman (mantan Ketua Pengarah DBP) menyatakan bahasa rojak dalam lirik lagu Melayu bukan setakat merendahkan martabat bahasa kebangsaan itu, malah akan menyebabkan bangsa Malaysia kehilangan identiti bahasa dan budaya (Utusan Malaysia, 7 Mei 2004). Hal ini demikian kerana lagu ialah satu daripada kaedah berbahasa dan ia harus digunakan sebagai wadah mengungkapkan fikiran dan budaya bangsa Malaysia.

Persoalannya ialah mengapakah setelah 55 tahun merdeka, masih berlaku fenomena seperti ini? Mengapakah bahasa Melayu masih dibayangi bahasa Inggeris? Malah dicemari pula dengan penggunaan bahasa Melayu rojak? Munsyi berpendapat fenomena seperti ini berpunca daripada sikap dan pemikiran rakyat Malaysia sendiri yang terpengaruh dengan dunia antarabangsa yang berpendapat sesuatu dari barat itu adalah yang terbaik, dipandang tinggi, berkualiti, dan terkini. Kesan jangka panjang akan menyebabkan tenggelamnya penggunaan bahasa Melayu yang betul.Senario di Malaysia jelas menunjukkan rata-rata rakyat Malaysia lebih berbangga bertutur dalam bahasa Inggeris daripada bertutur dalam bahasa ibunda mereka tatkala berbicara dalam majlis formal atau tidak formal. Jika berbahasa Melayu sekalipun jelas penggunaan bahasa rojak menjadi wahana utama tanpa sebarang perasaan segan silu kepada masyarakat lain yang bukan penutur jatinya.

Oleh itu, jika kita tidak mahu melihat bahasa Melayu diperlekehkan oleh bangsanya sendiri, seharusnya pelbagai langkah difikirkan oleh setiap warga Malaysia. DBP tidak harus dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk mendaulatkan dan mengembangkan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana kuasa yang diberi kepada DBP untuk menegur, membimbing, dan menasihati mana-mana pihak menggunakan bahasa Melayu yang betul umpama "harimau tanpa taring". Munsyi yakin setakat mewarisi kuasa menegur penggunaan istilah asing atau bahasa rojak dalam kalangan rakyat negara yang mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pasti tiada siapa akan memperdulikan peranan DBP. Hal ini demikian kerana kuasa menegur tanpa disusuli penguatkuasaan undang-undang yang mampu menyekat sipesalah mengulangi kesilapan, sama seperti DBP tidak berbuat apa-apa. Jelas jika bahasa Melayu tidak lagi didukung oleh rakyat dan penggunaan secara bersungguh-sungguh, penulis yakin bahasa itu lambat-laun akan luputditelan zaman seperti mana nasib yang menimpa bahasa Sanskrit, Yunan Tua, dan Latin. Pesoalannya sekarang adakah kita sebagai pemiliknya sanggup kehilangan bahasa yang merupakan identitui kita sejak sekian lama? Tepuk dada tanya selera.