Friday 13 July 2012

Contoh Teks Ucapan Rasmi


TEKS UCAPAN

Yang Berusaha
Tn.Hj.Mohamad bin Hj.Ikhsan

Pengarah
Maktab Perguruan Teknik
Kuala Lumpur


Sempena
Majlis Konvokesyen ke-38
Tahun 2005

Pada
                             25 Febuari 2006




Terima kasih saudara pengacara majlis

Bismillahhirahmannirrahim
Assalam mualaikum w.r.t
Selamat pagi dan salam sejahtera,

Yang Berbahagia
Dato’ Hj.Abdullah bin Hj. Abd.Kadir
Pengarah Penddikan Guru
Kementerian Pelajaran Malaysia

Yang   Berusaha
Puan Hajah Saadiah bt. Hj. Mohd Baharuddin

Pengarah-pengarah maktab

Pengetua-pengetua sekolah

Pensyarah-pensyarah

Ibu-ibu bapa dan waris-waris

Tuan-tuan dan puan-puan serta

Para graduan yang diraikan

Tinggi bukit gilang-gemilang
Air laut tenang-tenangan
Terima kasih kerana datang
Budi tuan jadi kenangan






Yang Berbahagia Dato’, tuan-tuan, puan-puan serta hadirin yang dihormati sekalian.

Syukur saya kepada Allah kerana dengan izin-Nya, dapat kita berkumpul pada pagi ini di dewan MPT  yang mulia dan terhias indah dalam satu majlis yang penuh gemilang dan bermakna ini.

Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi hadir, saya bagi pihak keluarga MPT merakamkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kerana tuan-tuan dan puan-puan dapat meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama dalam majlis ini. Seterusnya kepada Yang Berbahagia Dato’, kami amat berbesar hati dan menyanjung tinggi atas kesudian Yang Berbahagia menyempurnakan majlis kami dengan amanat yang penuh bermakna dan seterusnya menyampaikan diploma kepada para graduan. Semoga kehadiran Yang Berbahagia Dato’ akan menambahserikan majlis ini. Terima kasih daun keladi.  Kepada para graduan yang datang dari jauh dan dekat, saya mengucapkan selamat kembali ke maktab ini dan terima kasih kerana dapat hadir pada pagi ini. Sesungguhnya majlis ini adalah untuk meraikan saudara  sekalian.
Saya difahamkan bahawa terdapat seramai 197 orang pelajar KPLI, 101 orang pelajar KDPM, 183 orang pelajar KPLI (SR) LPBS dan 106 orang pelajar KDC yang menyertai konvokesyen pada kali ini

Melalui kesempatan ini, saya merakamkan ucapan tahniah kepada saudara sekalian kerana telah lulus dan menamatkan kursus dengan cemerlang. Diploma yang dianugerahkan adalah satu pengiktirafan terhadap daya usaha yang saudara tunjukkan semasa berkursus.  Kepada ibu bapa atau waris yang turut serta, selamat datang dan tahniah atas kejayaan anak dan waris tuan-tuan dan puan-puan atas kejayaan memilih profesion perguruan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 Maktab Perguruan Teknik telah mengorak langkah secara proaktif untuk mengembangkan peranannya dengan memberi penekanan dalam bidang akademik dan bukan akademik. Dalam bidang akademik, maktab ini sentiasa berusaha untuk memastikan arah tujunya seiring dengan perkembangan sistem pendidikan yang berpaksi kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).  Perkembangan ini mempunyai pelbagai implikasi kepada pendidikan dan pengurusan pendidikan alaf baru. Kemahiran teknologi komputer menjadi satu kemestian bagi semua pendidik. Hal seperti ini amat signifikan dengan hasrat untuk menjadikan maktab ini sebagai sebuah institusi perguruan yang mengamalkan ciri-ciri kebestarian dalam pengajaran dan pembelajaran. Justeru, akan lahir bakal guru yang kritis, kreatif, dan inovatif yang bersedia menghadapi cabaran arus globalisasi dalam alaf baru.

Yang Berbahagia Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Untuk merealisasikan matlamat ini, pelbagai usaha dirancang dan dilaksanakan seperti menaiktarafkan pendidikan guru dari segi prasarana dan kurikulum serta mengintergrasi kurikulum sedia ada dengan kemahiran generik kurikulum bestari. Semua eleman ini akan menjurus kepada perkembangan pelajar yang berketerampilan, kreatif dan inovatif, serta berwawasan untuk mengurus sistem pendidikan dengan sesempurna mungkin. Hal  seperti ini tidak secara langsung akan meningkatkan amalan profesionalisme guru sebagai fasilitator dan pembimbing yang berkesan dan pengguna multimedia yang cekap sebagai usaha mengoptimumkan proses pendidikan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Selain memberi fokus kepada bidang akademik, MPT juga memastikan kegiatan kokurikulum (GERKO) diberi perhatian serius oleh semua pihak. Seperti yang tuan/puan sedia maklum, melalui kegiatan ini, kita berupaya melahirkan generasi cemerlang, gemilang dan terbilang dalam bidang sukan. Di samping itu, kita berupaya mewujudkan insan yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental. Hal seperti ini amat berkaitan dengan survival bangsa Malaysia dalam menghadapi arus globalisasi. Untuk merealisasikannya, para pelajar diberi peluang menguasai pelbagai bidang dalam tiga komponen utama GERKO, iaitu GERKO Unit beruniform, permainan dan sukan, serta persatuan dan kelab. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan MPT telah menyertai beberapa pertandingan melalui aktiviti KAGUM dan telah mencapai beberapa kejayaan. Pendek kata, pelbagai ruang dan peluang telah disediakan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Terpulanglah kepada pelajar untuk menonjolkan bakat dan potensi diri yang sebenar. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada mereka yang menggunakan peluang ini dengan sepenuhnya dan syabas juga kepada mereka yang telah menjulang nama maktab ini melalui kejayaan yang telah dicapai. Sesungguhnya kejayaan ini hanya dapat dicapai melalui kemahuan dan daya juang yang tinggi. Pada saya kemahuan dan usaha merupakan elemen penting yang bergerak seiring untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Saudara graduan sekalian,
Kejayaan melepasi kursus perguruan, bukanlah bermakna saudara telah sampai ke destinasi penamat dalam menimba ilmu.  Janganlah mudah berasa puas dengan apa yang telah diperolehi.  Anggaplah ini sebagai titik permulaan dalam kerjaya saudara sebagai pendidik.  Saya berharap saudara sentiasa ada keinginan untuk meningkatkan potensi diri dengan penuh kesungguhan mencari dan menggali ilmu baru. Ini kerana sebagai satu profesion, guru mempunyai nilai dan etikanya yang tersendiri. Mereka juga terlatih dan sentiasa berusaha mempertingkatkan ketrampilan masing-masing berdasarkan perkembangan dan keperluan masyarakat yang berubah mengikut zaman. Melalui kesempatan ini juga, saya ingin mengingatkan saudara-saudari supaya menjadi guru permulaan yang dapat berkhidmat dengan penuh dedikasi di mana-mana sahaja saudara ditempatkan. Saya juga menyeru agar saudara dapat menggembleng tenaga dan berusaha untuk memelihara kemuliaan profesion perguruan dengan berpegang teguh serata mematuhi etika dan tatasusilanya. Saudara juga harus mengamal sikap profesional terhadap pelajar, rakan sejawat, ibu bapa, masyarakat, dan negara. Ini kerana senario masa kini begitu mencabar dan kompleks. Guru harus mempunyai sikap toleransi, sentiasa bersabar serta berhemah ketika menangani kerenah pelajar sebagai usaha membentuk generasi bangsa berilmu, berketrampilan, dan berakhlak mulia.


Saudara sekalian,
Sebenarnya dalam menghadapi cabaran Wawasan 2020 dan alaf baru dunia pendidikan, kita sebagai pendidik terlibat sepenuhnya. Guru ibarat wira masyarakat yang tidak disedari. Mereka ialah arkitek yang menjana insan-insan yang diperlukan untuk mengisi alaf baru. Masa depan anak-anak bangsa terletak di tangan saudara. Kalau wawasan itu diibaratkan satu gambar yang besar, saudara ialah juzuk-juzuk kecil yang melengkapi gambar tersebut. Hal ini jelas membuktikan bahawa saudara merupakan pemangkin dalam usaha mencorak generasi baru yang akan mewarisi apa saja peninggalan ibu bapa mereka. Saudara hendaklah menganggap bahawa kerjaya ini sebagai satu amanah untuk melahirkan  manusia berilmu, berakhlak, serta mendukung kelima-lima prinsip RUKUN NEGARA.

Akhir kata saya doakan selamat maju jaya dalam kerjaya yang baru saudara tempuhi. Buat mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga MPT yang terdiri daripada staf akademik dan bukan akademik serta para pelajar atas kerjasama dan sokongan padu yang telah dihulurkan untuk menjayakan majlis ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang turut memberi kerjasama dan sumbangan tenaga untuk menjadikan majlis ini lebih bermakna.
Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Abdullah bin Hj. Ab. Kadir, Pengarah Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia serta semua yang hadir kerana dapat bersama-sama pada pagi yang bertuah ini. Sekian, terima kasih.
Wabillahhitaufiq wahidayah………….






















No comments:

Post a Comment