Saturday 28 July 2012

Banyak atau Ramai?

Banyak atau ramai orang? Satu permasalahan yang perlu dirungkaikan.

Suatu ketika dahulu, guru-guru Bahasa Melayu sering memberitahu murid-murid mereka tentang prinsio yang berasaskan kelaziman penggunaan kedua-dua kata bilangan ini dengan betul. Munsyi masih teringat akan pesanan guru Bahasa Melayu ketika Munsyi bersekolah rendah yang menegaskan bahawa kata adjektif "ramai" hanya digunakan untuk manusia sahaja. Manakala kata adjektif "banyak" hanya digunakan untuk menunjukkan bilangan benda, perkara atau haiwan. Oleh itu, jika "banyak" digunakan untuk merujuk manusia, hal ini dianggap telah menyalahi prinsip atau hukum tatabahasa. Apabila penggunaan seperti itu menjadi suatu kelaziman, maka masyarakat akan menerimanya sebagai betul.

Dalam hal ini Munsyi kurang bersetuju dengan pendapat ini. Hal ini demikian kerana pemakaian kata "banyak" pada manusia boleh ditemukan dalam buku-buku hikayat dan puisi Melayu tradisional. Dalam pantun Melayu, misalnya, kata "banyak" digunakan untuk merujuk kepada manusia seperti dalam contoh yang berikut :

(a)  Banyak udang banyak garam,
       Banyak orang banyak ragam.
                (Persuratan Melayu Lama)

(b) Sungguh banyak beraturnya gajah,
        Rama-rama bertali sutera,
    Sungguhpun banyak anak raja,
       Tidak sama dengan Inderaputera.
              (Hikayat Inderaputera)

Hal yang sama juga ditemukan dalam beberapa buah hikayat Melayu Lama seperti Hikayat Raja Pasai, Hikayat Malaim Deman, dan Sejarah Melayu seperti dalam contoh yang tersenarai di bawah :

(a)  "Maka meafakatlah Megat Sekandar dengan segala orang yang banyak serta dengan dia hendak merajakan Merah Silu itu.
               (Hikayat Raja Pasai :11)

(b)  "Hatta di dalam hal yang demikian itu, orang besar-besar, rakyat, tentera Tuanku Malim Deman pun banyaklah hilang ..."
              (Hikayat Malim Deman:17)

Untuk membuktikan bahawa kata "banyak" sesuai digunakan untuk menunjukkan bilangan manusia, Munsyi berpegang kepada makna yang terdapat dalam Kamus Dewan (2005:127)

1.  Bukan sedikit, tidak sedikit
contoh : Banyak orang yang mempunyai cita-cita tinggi.

2. bilangan, jumlah
contoh: Beberapa banyak hadiah yang kauterima daripada mereka?

3. sangat, sungguh
contoh : Banyak sungguh peminat yang menonton persembahan artis-artis terkenal di Stadium Nasional malam tadi.

Manakala kata "ramai" dalam Kamus Dewan (2005:1275) mendukung makna-makna seperti yang berikut :

1.  riuh-rendah, hiruk-pikuk (bunyi, suara dll)

2. sangat hebat, dahsyat (peperangan, perkelahian dll.)
contoh : Maka berperangilah Temenggong Seri Udana dengan Feringgi terlalaulah ramai.

3. sangat gembira, sangat meriah, riang gembira
contoh : Emak Ramli hanya ramai dalam hati sahaja.

4. aktif, giat, sibuk
contoh : Setelah meleset beberapa lama, pasaran getah ramai kembali.

5. banyak penghuninya (penduduknya)
contoh : Zaman ini negeri Siak ramai.

Satu lagi bukti kata "banyak" digunakan untuk manusia adalah seperti makna dalam ayat-ayat berikut :

(a)  Kebanyakan pelajar sekolah kini mahir menggunakan komputer.
(b)  Kajian mendapati kebanyakan guru di sekolah pada hari ini terdiri daripada golongan wanita.

Jika kata "ramai" yang dianggap khusus digunakan untuk merujuk manusia, cubalah gantikan kata "kebanyakan" dalam ayat-ayat di atas dengan "keramaian", misalnya :

(a) Keramaian pelajar sekolah kini mahir menggunakan komputer.
(b) Kajian mendapati keramaian guru di sekolah pada hari ini terdiri daripada golongan wanita.

Pemakaian "keramaian" dalam ayat-ayat di atas akan menyebabkan kita berasa janggal. Dengan merujuk kepada Kamus Dewan (2005:1275), Munsyi dapati makna bagi kata "keramaian" ialah perihal ramai (riuh-rendah), perayaan, pesta. Kata tersebut tidak menggambarkan jumlah orang tetapi suasana riuh-rendah dalam sesuatu pesta.

Berdasarkan huraian di atas, Munsyi optimis bahawa kata "banyak" mempunyai hubungan dengan jumlah atau bilangan, tidak kira untuk manusia, benda atau binatang sementara kata "ramai" lebih merujuk kepada suasana. Oleh itu, Munsyi ingin menegaskan sekali lagi tidaklah menjadi kesalahan kata "banyak" digunakan untuk manusia seperti anggapan sesetengah pengguna bahasa. Semoga dengan penjelasan berserta contoh yang sesuai, tidak akan lagi menimbulkan sebarang kekeliruan terhadap penggunaan kata "banyak" atau "ramai" dalam apa jua wahana penyampaian.

                   

1 comment: