Saturday 28 July 2012

“Pelantikan” atau “perlantikan”? Kekeliruan Yang Perlu Dirungkaikan

Banyak rakan sekerja bertanya kepada saya tentang  yang  manakah yang betul, “pelantikan” atau “perlantikan”? Hal ini demikian kerana terdapat dalam sesetengah surat yang dimajukan oleh pihak institut kepada pensyarah menggunakan ejaan yang berbeza pada perkataan ini. Sehubungan dengan itu, mereka meminta saya merungkaikan kekeliruan ini dengan huraian yang berlandaskan kepada prinsip dan hokum tatabahasa
Persoalan pokok dalam hal ini adalah tentang penggunaan sama ada apitan “peN…an atau “per…an” dalam kedua-dua perkataan tersebut. Jkalau didasarkan enggunaannya, Munsyi mendapati masih banyak orang yang keliru dan menggunakan bentuk yang salah.
Dalam bahasa Melayu terdapat dua apitan yang masing-masing membentuk kata nama dan yang penggunaannya mengelirukan. Apitan-apitan tersebut ialah “peN…an” dan “per…an” seperti dalam perkataan pemberian, pendakian, perselisihan, dan pergolakan..Dua contoh yang pertama, iaitu pemberian dan pendakian dibentuk dengan apitan “peN…an”, sementara dua bentuk yang terakhir, iaitu perselisihan dan pergolakan terbentuk dengan apitan “per…an”.
Untuk makluman pembaca, bentuk perkataan-perkataan ini dan imbuhan yang digunakan adalah mengikut peraturan yang mesti kita fahami utuk memperjelas kekeiruan ini. Kunci kepada persoalan ini adalah dengan melihat kepada kata dasar perkataan sama ada menerima “meN/meN…kan” atau awalan “ber…”. Bagi kata dasar “beri” dan “daki”, awalan yang diterimanya ialah “meN…”. Oleh itu kata baharu yang terbentuk selepas menerima awalan tersebt ialah memberi dan mendaki. Bagi ata dasar “selisih” dan “golak” pula,, awalaan yang diterima ialah “ber…” menjadikannya berselisih i dan bergolak.
Seterusnya, bagi kata dasar yang menerima awalan “meN…”, bentuk apitan yang boleh diterimanya ialah “peN…an” yang membentuk kata baharu pemberian dan pendakian. Kedua-dua kata dasar ini tidak menerima awalan “ber…”. Oleh sebab itu tidak wujud gabungan kata dasar ini dengan apitan “per…an”, seperti perberian atau perdakian.
Sebaliknya, kata dasar “selisih” dan “goak” yang menerima awalan “ber…” akan menerima apitan “per…an”, membentuk kata baharu perselisihan dan pergolakan. Hal ini demikian kerana kedua-dua kata dasar ini tidak pernah hadir dengan awalan “meN…”, yakni tidak ada menyelisih dan menggolak.  Oleh itu, tidak akan terbentuk kata penyelisihan dan penggolakan.
Demikian jugalah dengan perkataan “lantik” dan “laksana”. Kedua-dua kata dasar ini menerima awalan “men…”, iaitu melantik dan melaksanakan. Oleh itu, apitan yang diterima ialah “pen…an” yang membentuk kata baharu pelantikan dan pelaksanaan. Sehubungan dengan itu, tidak ada bentuk “berlantik” dan “berlaksana” setelah diimbuhkan dengan awalan “ber…”, maka tidak sepatutnya terbentuk perkataan perlantikan dan perlaksanaan.
Dengan kata lain, penggunaan perkataan “perlantikan” dan “perlaksanaan” sebenarnya adalah salah dari segi pemakaian imbuhan.
Selepas ini, Munsyi berharap agar para pembaca tidak lagi menghadapi persoalan untuk memilih “pelantikan” dan bukannya “perlantikan” atau “pelaksanaan” dan bukannya “perlaksanaan”. Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment