Saturday 28 July 2012

Berbelanja Berhemah Atau Berhemat?

Tanggal 28 Februari 2006, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan mendadak harga minyak sebanyak 30 sen seliter. Ekoran daripada itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalan Perdana Menteri Malaysia mengajak rakyat membuat perubahan gaua hidup, iaitu berbelanja secara positif dan bukannya mengikut sentiment atau emosi. Selain itu, beliau menyarankan rakyat supaya berbelanja secara berhemah, berjimat cermat, tidak membazir serta mengutamakan perbelanjaan penting (Utusan Malaysia, 2006:1). Hal ini demikian kerana menurut beliau, mengurangkan pembaziran juga selaras dengan tuntutan Islam dan rakyat juga perlu memikirkan alternative seperti menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Sehubungan dengan itu, Datin Seri ROsmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri menasihati rakyat terutamanya golongan wanita berbelanja secara berhemah mengikut kemampuan (Utusan Malaysia, 2006 :2).
Apabila berbicara tentang cermat dan jimat dalam berbelanja, MUnsyi dapati penyalahgunaan perkataan “hemah” untuk mengungkapkan makna “tidak boros”, “tidak membazir wang”, “beringat-ingat” selain “teliti dalam berbelanja”. Hal ini demikian kerana perkataan “hemah” seperti dalam entri Kamus Dewan (2005 : 525) bermaksud budi pekerti yang mulia seperti dalam ayat-ayat di bawah :          
      (a)     Dia seorang pemuda yang cukup baik, tinggi hemahnya dan baik tutur katanya.
      (b)     Kita perlu memandu secar berhemah di jalan raya.
Di sini jelas terbukti perkataan “berhemah” untuk menerangkan cara berbelanja tidak sesuai digunakan. Perkataan yang tepat dan betul ialah “berhemat”. Hal ini demikian kerana menurut Kamus Dewan (2005 :525) perkataan “berhemat” bermaksud 1. berjimat, bercermat 2. berhati-hati, teliti
(a)     Kalau ingin kaya kita haruslah berbelanja secara berhemat.
(b)     Pegawai penyelidik itu bekerja dengan berhemat untuk mendapat keputusan yang tepat.
Kesimpulannya, kita tidak boleh memandang ringan kesalahan ini. Bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam bentuk yang baik dan betul pada setiap masa sama ada dalam konteks formal atau tidak formal.

No comments:

Post a Comment