Saturday 28 July 2012

Imbuhan apitan me….kan dan me….i

Semasa memberi ceramah tatabahasa bahasa Melayu kepada guru-guru bahasa Melayu sekolah rendah anjuran bersama-sama DBP dan JPN Wilayah Persekutuan, kebanyakan guru menyetakan mereka agak keliru tentang penggunaan imbuhan apitan tersebut.  Mereka mengakui telah menggunakan imbuhan tersebut dengan sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan perkataan-perkataan itu tidak digunakan dengan betul. Misalnya, perkataan berapitan me…kan digunakan di tempat me..i dan begitulah juga sebaliknya. Hal ini begitu ketara digunakan bagi perkataan menamakan dan menamai, menasihatkan dan menasihati, menemukan dan menemui, serta menenggelamkan dan menenggelami. Dalam hal ini, kita sering membaca dan mendengar perkataan yang dinyatakan ini seperti dalam ayat-ayat di bawah ini.
a.       Parameswara menamakan tempat itu Melaka.
b.       Ahmad menemui bukunya yang hilang di bawah meja itu.
c.        Ayah menasihatkan saya supaya belajar dengan bersungguh-sungguh.
d.       Ombak Tsunami telah menenggelamkan pekan itu.
Untuk menentukan sama ada penggunaan perkataan dalam ayat (a) hingga (d) betul atau salah, Munsyi telah merujuk kepada Kamus Pelajar (KBSM). Misalnya, penggunaan perkataan menamakan dalam ayat (a) salah. Hal ini demikian kerana perkataan menamakan bermaksud mencadangkan atau memberikan nama seseorang sebagai wakil atau calon untuk bertanding dalam sesuatu pilihanraya.
Contoh :
·         Mereka menamakan bberapa orang calon dalam pemilihannya itu.
Manakala perkataan menamai bermaksud memberikan nama kepada, membubuh nama pada, atau menggelar seseorang.
Congtoh :
·         Pak Awang menamai anaknya Ramlah.
Selain itu, pengguna bahasa sering menyalahgunakan perkataan menemui dan menemukan dalam penulisan. Kesalahan ini sering kita lihat dalam penggunaan perlataan menemui pada tempat menemukan. Lihat contoh ayat di bawah ini.
·         Azemi menemui dompet saya di bawah meja itu.
Dalam hal ini, Munsyi mendapati ayat di atas tidak gramatis kerana penggunaan perkataan menemui dalamnya tidak tepat. Hal ini demikian kerana perkataan menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa, atau bersua dengan seseorang.
Contoh :
·         Dia masih belum juga menemui orang yang dicaricarinya selama ini.
Maksud lain bagi perkataan menemui ialah pergi berjumpa dengan, menziarahi dengan, atau melawati. Contoh ayat yang dikemukakan ialah :
·         Jaimah pulang ke kampong menemui kaum keluarganya.
Selain itu, maksud menemui dalam konteks menemui ajal ialah meninggal dunuia.
Perkataan menemukan pula bermaksud mendapat atau mencipta sesuatu yang baharu.
·         Pakar perubatan telah menemukan cara mengubati penyakit AIDS.
Selain itu, menemukan bermaksud memperoleh sesuatu yang dicari. Contoh ayat yang dikemukakan ialah :
·         Pasukan polis telah menemukan kereta Fauziah yang hilang di belakang bangunan itu.
Dengan berdasarkan makna menemukan yang dikemukakan ini, jelaslah bahawa penggunaan perkataan menemui dalam ayat di atas tidak tepat. Ayat tersebut sepatutnya menggunakan perkataan menemukan seperti dalam ayat di bawah ini :
·         Normala menasihatkan perkara itu kepada pelajarnya.
Selain itu, perkataan menasihati bermaksud memberi nasihat atau tunjuk ajar kepada seseorang. Contoh :
·         Sharizan menasihati pelajarnya supaya belajar dengan bersungguh-sungguh.
Perkataan menenggelamkan dan menenggelami juga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa. Banyak ayat seperti contoh yang kita temukan dalam petikan atau digunakan secara lisan atau bertulis oleh pengguna bahasa. Menurut kamus ini, menenggelamkan bermaksud menyebabkan tenggelam atau mengaramkan. Contoh ayat yang dikemukakan ialah :
·         Tentera Amerika telah berjaya menenggelamkan beberapa buah kapal perang Iraq.
Selain itu, menenggelamkan juga bermaksud memasukkan atau membenamkan sesuatu ke dalam air. Contoh :
·         Mahzam telah menenggelamkan sudu ke dalam air itu.
Manakala perkataan menenggelami pula bermaksud membanjiri atau menggenangi. Contoh ayat yang dikemukakan ialah :
·         Banjir yang berlaku baru-baru ini telah menenggelami beberapa buah kawasan di pecan Rawang.
Dengan berdasarkan makna kedua-dua perkataan yang Munsyi kemukakan itu, ayat yang tepat adalah seperti yang berikut :
·         Ombak Tsunami telah menenggelami pekan itu.
Kesimpulannya, banyak pengguna bahasa yang masih keliru tentang penggunaan perkataan yang berapitan me…kan dan me…i. Hal ini demikian kerana terdapat banyak cara untuk memehami penggunaan perkataan tersebut. Selain berdasarkan objek bergerak dan tidak bergerak, objek bernyawa dan tidak bernyawa, pengguna bahasa perlu mengetahui makna perkataan tersebut dalam konteks tertentu. Jika pengguna merujuk kepada kamus, didapati makan yang dikemukakan tentang sesuatu perkataan lebih daripada satu. Oleh itu, Munsyi berharap agar pengguna merujuk   kepada kamus sekiranya mereka menghadapi kekeliruan tentang penggunaan perkataan yang tertentu, khususnya yang berapitan me…kan dan me…i.

No comments:

Post a Comment