Thursday 2 August 2012

Bahasa Rojak. Tanggungjawab Siapa?

Isu bahasa rojak yang menjadi polemik di dada akhbar tempatan sejak kebelakangan ini menarik perhatian Munsyi untuk memberi pandangan peribadi sebagai pengajar dan pencinta bahasa Melayu yang sentiasa berusaha mengangkat martabatnya ke tahap yang tinggi. Hal ini bukanlah bermakna Munsyi seorang yang begitu fanatik terhadap bahasa ini. Cuma sudah menjadi tanggungjawab penulis untuk memastikan tidak berlaku pencabulan bahasa secara sewenang-wenang oleh pengguna yang majoritinya terdiri daripada bangsa Melayu sendiri. Munsyi amat menyetujui pandangan Datuk Dr. Hassan Ahmad (Allahyarham) yang dengan berani menyatakan bangsa Melayu bertanggungjawab memusnahkan bahasa ibunda sendiri (Utusan Malaysia, 7 Mei 2004). Beliau melahirkan kebimbangannya dengan menyatakan bahawa masalah yang lebih besar dan nampak semakin gawat ialah masalah penggunaan bahasa rojak dan bahasa tidak baku di media elektronik yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak berwajib. Jika tidak, beliau yakin suatu hari nanti bangsa Melayu tidak dapat menggunakan bahasa Melayu dengan cekap sebagai alat pemikiran dan tamadun bangsa.

Ternyata kebimbangan Datuk Dr. Hassan menjadi kenyataaan yang menakutkan. Ketiadaan jalan penyelesaian yang benar-benar berkesan menjadikan isu penggunaan istilah asing dan bahasa rojak kembali diperkatakan. Seorang lagi pejuang bahasa, Datuk Dr. Rais Yatim dengan tegas menyatakan penggunaan bahasa Melayu kini semakin luntur disebabkan sikap tidak prihatin masyarakat yang merosakkannya dengan menggunakan bahasa rojak (Utusan Malaysia, 27 April : 2004).

Seterusnya, beliau dengan nada sinis menegaskan golongan ini tidak sedar tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Negara. Beliau juga melahirkan kebimbangan apabila melihat semakin ramai rakyat negara ini yang tidak tahu menuturkan bahasa Melayu dengan betul> hal seperti ini katanya, disebabkan mereka tidak diwariskan menggunakan lunas yang betul dan menggunakan campuran bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris.

Beliau juga menyatakan penggunaan istilah asing dan bahasa rojak kini umpama penyakit berjangkit yang menular ke pelbagai sektor termasuk kakitangan kerajaan yang enggan mendaulatkan bahasa rasmi negara sendiri. Oleh itu, beliau mengharapkan bahasa Melayu harus dijamin agar tidak tercabul dan keadaan serta keutuhannya dihormati oleh semua generasi. Atas kesedaran ini, katanya, kementerian yang beliau terajui kini akan mengadakan pelbagai program bimbingan budaya bahasa untuk mengembalikan dan melindungi bahasa Melayu sebagai warisan negara.

Lebih memburukkan keadaan apabila isu penggunaan bahasa rojak dalam lirik lagu Melayu yang mendapat perhatian umum ekoran pengharaman beberapa buah lagu. Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dengan menjadi DBP sebagai panduan telah bertindak tegas dengan mengharamkan penyiaran lagu-lagu tersebut dengan alasan tahap bahasa Melayu yang diguna RTM sering menjadi panduan oleh pelbagai pihak. Datuk A. Aziz Deraman (mantan Ketua Pengarah DBP) menyatakan bahasa rojak dalam lirik lagu Melayu bukan setakat merendahkan martabat bahasa kebangsaan itu, malah akan menyebabkan bangsa Malaysia kehilangan identiti bahasa dan budaya (Utusan Malaysia, 7 Mei 2004). Hal ini demikian kerana lagu ialah satu daripada kaedah berbahasa dan ia harus digunakan sebagai wadah mengungkapkan fikiran dan budaya bangsa Malaysia.

Persoalannya ialah mengapakah setelah 55 tahun merdeka, masih berlaku fenomena seperti ini? Mengapakah bahasa Melayu masih dibayangi bahasa Inggeris? Malah dicemari pula dengan penggunaan bahasa Melayu rojak? Munsyi berpendapat fenomena seperti ini berpunca daripada sikap dan pemikiran rakyat Malaysia sendiri yang terpengaruh dengan dunia antarabangsa yang berpendapat sesuatu dari barat itu adalah yang terbaik, dipandang tinggi, berkualiti, dan terkini. Kesan jangka panjang akan menyebabkan tenggelamnya penggunaan bahasa Melayu yang betul.Senario di Malaysia jelas menunjukkan rata-rata rakyat Malaysia lebih berbangga bertutur dalam bahasa Inggeris daripada bertutur dalam bahasa ibunda mereka tatkala berbicara dalam majlis formal atau tidak formal. Jika berbahasa Melayu sekalipun jelas penggunaan bahasa rojak menjadi wahana utama tanpa sebarang perasaan segan silu kepada masyarakat lain yang bukan penutur jatinya.

Oleh itu, jika kita tidak mahu melihat bahasa Melayu diperlekehkan oleh bangsanya sendiri, seharusnya pelbagai langkah difikirkan oleh setiap warga Malaysia. DBP tidak harus dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk mendaulatkan dan mengembangkan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana kuasa yang diberi kepada DBP untuk menegur, membimbing, dan menasihati mana-mana pihak menggunakan bahasa Melayu yang betul umpama "harimau tanpa taring". Munsyi yakin setakat mewarisi kuasa menegur penggunaan istilah asing atau bahasa rojak dalam kalangan rakyat negara yang mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pasti tiada siapa akan memperdulikan peranan DBP. Hal ini demikian kerana kuasa menegur tanpa disusuli penguatkuasaan undang-undang yang mampu menyekat sipesalah mengulangi kesilapan, sama seperti DBP tidak berbuat apa-apa. Jelas jika bahasa Melayu tidak lagi didukung oleh rakyat dan penggunaan secara bersungguh-sungguh, penulis yakin bahasa itu lambat-laun akan luputditelan zaman seperti mana nasib yang menimpa bahasa Sanskrit, Yunan Tua, dan Latin. Pesoalannya sekarang adakah kita sebagai pemiliknya sanggup kehilangan bahasa yang merupakan identitui kita sejak sekian lama? Tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a Comment